Tuesday, May 18, 2021

PROFIL

 SOROTAN SEJARAH



Pada peringkat awal sekolah ini telah dibina di perkarangan Masjid Jamek Kampung Parit Kahar. Sekolah ini telah diasaskan oleh Tuan Hj.Mustahid yang bertujuan untuk memberikan didikan agama kepada penduduk sekitarnya. Sekolah agama ini dijalankan dari tahun satu hingga tahun empat.


Pada tahun 50-an sekolah ini telah dipindahkan ke simpang antara Parit Kahar dan Parit Seniman yang bertujuan untuk memudahkan lagi semua penduduk kampung yang berhampiran mengikuti pendidikan yang dijalankan. Cadangan pemindahan ini telah dicadangkan oleh ketua kampung iaitu Tuan Hj. Saniman Bin Moin. Cadangan ini telah dipersetujui oleh semua penduduk kampung.


Mengikut perkembangan dari peringkat awal hingga sekarang banyak perubahan yang telah dilalui terutamanya dari segi struktur bangunan. Pada awal pembinaan bangunan sekolah, bangunannya hanya beratapkan rumbia hasil gotong royaong pemduduk kampung. Kemudian barulah diganti dengan zink, tetapi masih berlantaikan tanah. Beberapa tahun kemudian, sekolah ini telah mendapat peruntukan dari kerajaan yang berupa bangunan kekal.


Pada tahun 80-an bangunan ini telah ditukar sekali lagi kepada bangunan tiga tingkat yang lebih kukuh, cantik dan bermutu tinggi setanding dengan sekolah yang lain. Pada tahun 2002 sekali lagi sekolah ini berubah wajah kerana sekolah ini telah mendapat peruntukan bangunan baru yang lebih canggih sesuai dengan era perubahan pendidikan masa kini.


Dari segi penggunaan nama bagi sekolah ini, terdapat tiga nama yang digunakan iaitu Sekolah Melayu di peringkat awal, Sekolah Rakyat dan kemudiannya ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa. Terdapat juga ura-ura untuk menamakan sekolah ini dengan nama Sekolah Seri Anom tetapi memandangkan nama tersebut sama dengan sekolah yang berhampiran menyebabkan cadangan tersebut dibatalkan.


Nama Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa adalah hasil gabungan lima buah kampung yang terletak berhampiran dengan sekolah itu iaitu Kampung Parit Kahar, Kampung Parit Seniman, Kampung Prait Maklumi, kampung Parit Lancang dan Kampung Parit Limin. Sekolah ini berperanan untuk menggambungkan dan menyatukan penduduk kampung-kampung tersebut dengan kata lain juga sekolah telah menjadi agen perubahan sejak dahulu lagi.


 LATAR BELAKANG SEKOLAH


Sekolah ini terletak di Kampung Parit Kahar dalam Mukim Ayer Baloi terdapat beberapa buah desa sekitar sekolah ini. Oleh kerana hubungan yang rapat antara penduduk kelima-lima buah kampung di sekitar sekolah ini maka wujudlah perkataan “Sekawan Desa”. Sempena dengan ini maka sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa.


Sekolah ini ditubuhkan dan dibuka dengan rasminya sebagai sebuah sekolah kerajaan pada Ahah 13 Ogos 1950 yang bertempat disebuah bangunan rakyat di Parit Kahar. Kemudian ia berpindah ke bangunan di atas sebidang tanah seluas 2 ekar yang diwakilkan oleh Tuan Haji Suliman Bin Moin (Encik Saniman Bin Moin) yang pada masa itu adalah Ketua Kampung di situ.Jumlah murid pada hari pertama ialah seramai 58 orang dengan seorang guru yang juga Guru Besar iaitu Cikgu Haji Arshad Bin Sulaiman.Majlis perasmian sekolah ini telah dihadiri oleh Pemangku Nazir Sekolah Sekolah Melayu Johor, Pegawai Daerah Pontian, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan penduduk kampung sekitar sekolah.


Pengajian yang tertua di sekolah ini ialah Pengajian Agama Islam dan Arab (nahu) yang diajar oleh seorang Imam Masjid Jamek di sini iaitu Tuan Lebai Mustahid Bin Hasan. Pengajian ini berakhir apabila Sekolah Agama Seri Sekawan Desa di buka pada tahun 1952. Seorang Ustaz  telah mengajar pada masa itu iaitu Ustaz Haji Mohd.Shufaat Bin Haji Yusuf.


Dalam awal-awal tahun persekolahan didapati latar belakang sosial pelajar-pelajarnya amat terhad. Bahasa ibunda mereka (Bahasa Jawa) masih digunakan sebagai bahasa utama manakala Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.


Namun kini, semua telah berubah sesuai dengan arus perubahan zaman, sekolah ini seperti sekolah-sekolah lain di Malaysia menjalankan sistem pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


PENGASAS SEKOLAH


Pengasas Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa ialah Encik Muslimin Bin Suib. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Sarang Buaya di Muar sehingga darjah 4 dan sekolah agama sehingga darjah 5.


Semasa bujang ( akhir tahun 40-an) beliau telah berhijrah ke sini untuk bekerja. Beliau bekerja sebagai pekebun. Beliau seterusnya berkhawin dengan seorang gadis di Kampung Parit Saniman. Hasil perkhawinannya beliau telah dikurniakan sepuluh orang anak iaitu lima orang lelaki dan lima orang perempuan.


Ketika menetap di sini beliau dapati empat buah kampung tidak mempunyai sekolah kecuali Kampung Parit Kahar. Kampung Parit Kahar mempunyai sebuah sekolah pondok. Akhirnya, beliau bersama bapa mertuanya iaitu Tuan Haji Saniman Bin Abdul Moin mendermakan sebidang tanah untuk didirikan sebuah sekolah di tanahnya itu. Tanahanya yang terletak di persimpangan Jalan Parit Saniman dengan Kampung Parit Kahar.


Hasil dari kerja gotong –royong penduduk kampung maka terdirilah sebuah sekolah untuk anak-anak penduduk kampung pada masa itu.


 SENARAI NAMA GURU BESAR  YANG BERKHIDMAT DI SKSSD

     

1. Allahyarham Arshad Bin Hj. Sulaiman
2. Allahyarham Aliman Bin Ramin
3. Tn. Hj. Ahmad Bin Manas
4. Tn. Hj. A. Talib Bin Othman (1987 – 1991)
5. Tn. Hj. Hussin Bin Fakih Zainon (1993 – 1996)
6. Allayarhamah Latifah Binti Abdul Razak (1996 – 2001)
7. Pn. Hjh. Farti Binti Khayun (2001 – Jun 2003)



No comments:

Post a Comment